Kehidupan awal Kontik_Kamariah

Dilahirkan di Kampung Seputih, Kuala Lumpur kepada Allahyarham Ahmad Panglima Garang Ishak, bekas Penghulu Kuala Lumpur, Kamariah bermula pendidikannya di Sekolah Melayu Seputih, Kuala Lumpur pada tahun 1919 hingga tamat darjah lima pada tahun 1923. Beliau kemudian menuntut di peringkat menengah di Sekolah Perempuan Methodist sehingga lulus Senior Cambridge pada 1928. Beliau adalah wanita Melayu pertama yang lulus peperiksaan Senior Cambridge. Seterusnya, Kamariah mengikuti kursus perguruan di Pusat Latihan Perguruan Biasa Inggeris dan juga merupakan wanita Melayu pertama yang mengikuti kursus tersebut di Institusi Victoria pada tahun 1932.

Pada tahun 1929, Kamariah memulakan kerjayanya sebagai guru pelatih bahasa Inggeris di Sekolah Perempuan Methodist, Kuala Lumpur. Tiga tahun kemudian pada tahun 1932, beliau menjadi Inspektor Sekolah Melayu Perempuan Kampung Baru. Kamariah menjadi Kapten bagi Pasukan Pandu Puteri Sekolah Kampung Baru, Kuala Lumpur pada tahun 1939. Antara 1945 hingga 1948, beliau dilantik menjadi Penyelia Sekolah-sekolah Melayu Negeri Selangor yang pertama.

Kamariah berkahwin dengan Bahadun Haji Hassan (Allahyarham) yang merupakan bekas Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan. Sebagai isteri duta antara tahun 1957 hingga 1968, beliau sentiasa menemani suaminya ke luar negara. Mereka dikurniakan dengan dua orang anak. Suaminya meninggal dunia pada 28 Julai 1980.